Masjid Christchurch: Dukacita kepada saudara seagama yang terkorban

23 Mac 2019

Sebelum menunaikan solat fardhu Jumaat pada hari ini, imam yang bertugas mengumumkan agar jemaah meluangkan sedikit waktu untuk melaksanakan solat jenazah ghaib kepada saudara-saudara Islam yang syahid di Masjid Christchurch, New Zealand pada Jumaat lalu. 

Selepas imam memberi salam tanda selesainya solat Jumaat, imam lain pula memimpin solat jenazah ghaib tersebut. Terasa sebak pula ketika menunaikan solat jenazah tersebut apabila terkenangkan mereka yang ditembak oleh sang pengganas yang tiba-tiba masuk ke ruangan masjid untuk membunuh hampir kesemua mereka yang berada di dalam masjid pada ketika itu.

Tiba-tiba terbayang seandainya diri ini ditakdirkan berada di dalam masjid pada saat kejadian tersebut berlaku. Walaupun, lokasi kejadian tersebut jauh, namun, diri ini turut berdukacita kerana mereka yang terlibat adalah saudara seagama.

Apatah lagi apabila terkenangkan nasib keluarga yang terlibat apabila kehilangan ketua keluarga mereka dalam kejadian yang tidak diduga itu. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. 

Semoga Allah memberi ketabahan kepada ahli keluarga yang terlibat dan menempatkan mereka yang terkorban dikalangan para syuhada.

Amin. Ya Rabbal Alamin.  

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *